JOHOR BHARU, 22 MEI: Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diminta memilih barisan pemimpin baharu yang mendukung dan membawa perjuangan parti ke tahap lebih baik pada masa hadapan.
Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan itu akan membentuk pentadbiran kerajaan yang lebih baik sekali gus membolehkan lebih banyak manfaat ditawarkan kepada rakyat.
“Pilih pemimpin yang setia dengan parti. Kita bersedia hidup mati dengan parti, kita kalah kita tetap setia dengan parti.
“Sebab kita nak bawa (pelbagai tawaran) kepada rakyat. Kita nak pamerkan bagaimana nak kukuhkan pendidikan menuju kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) contohnya kukuhkan semikonduktor,” katanya.
Berucap di program Grand Finale Bersama Membina Parti Kita, Amirudin yang akan mempertahankan jawatan turut menyeru mana-mana individu kalah untuk terus bergerak membawa perjuangan sekali gus memperkukuh parti.
[caption id="attachment_702376" align="aligncenter" width="882"] Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Grand Finale Bersama Membina Parti Kita di Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 di KSL Hotel Johor Bahru pada 22 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurutnya tanggungjawab berkenaan perlu ada di peringkat majlis pimpinan pusat wanita dan angkatan muda KEADILAN (AMK) memandangkan parti bakal berdepan cabaran lebih besar pada masa akan datang.
“Saya faham ada yang mungkin kecewa, ada tak terpilih tapi parti sentiasa menunjukkan kita nak bergerak ke depan.
“Kita nak lihat parti dapat rangkul seramai mungkin. Mereka yang berjuang bersama-sama. Bukan berjuang atas nama KEADILAN sahaja tetapi NGO, penjaja, pemandu teksi, kesatuan pekerja, rakyat dan semuanya,” katanya.
Berlangsung di KSL Hotel, siri jelajah terakhir berkenaan menyaksikan Amirudin berdiri sepentas dengan Nurul Izzah Anwar sekali gus menunjukkan sokongan terhadap calon timbalan presiden parti itu.
Menggunakan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, beliau sebelum ini menjelaskan gagasannya sejajar dengan tema dibawa Nurul Izzah iaitu ‘Bersama Membina Parti Kita’.
Pemilihan parti penggal 2025/2028 yang berlangsung esok membabitkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan AMK.
Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.
[caption id="attachment_702377" align="aligncenter" width="1140"] Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Calon Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar ketika ceramah Grand Finale Bersama Membina Parti Kita di Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 di KSL Hotel Johor Bahru pada 22 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]