KUALA LUMPUR, 20 MEI: Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup minuman keras tidak bercukai menggunakan van sekolah gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan parkir Taman Sri Gadong, Klang dekat sini semalam.
Komander PPM Wilayah Satu ACP Rusley Chi Ari berkata serbuan oleh Unit Risikan Marin Markas Operasi (MO) PPM Pelabuhan Klang pada kira-kira 12 tengah hari itu mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun sedang memindahkan kotak minuman keras dari sebuah lori ke dalam van jenis Toyota Hiace tertera ‘Bas Sekolah' di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 56 kotak dan 30 peti minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dengan anggaran nilai barang rampasan RM10,664 manakala nilai cukai dianggarkan sebanyak RM36,889," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusley berkata pihaknya turut menyita lori dan van sekolah yang digunakan suspek dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM117,553.
Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran minuman keras tanpa cukai di kawasan Klang.
Menurut Rusley, suspek dan semua barang rampasan dibawa ke MO PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976, Seksyen 74 Akta Eksais 1976 dan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.
- BERNAMA


