ad
AGENSI

Isu bau busuk: Jais hentikan aktiviti pembinaan Tanah Perkuburan Paya Jaras

19 Mei 2025, 1:51 PM
Isu bau busuk: Jais hentikan aktiviti pembinaan Tanah Perkuburan Paya Jaras

SHAH ALAM, 19 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghentikan segala aktiviti di tapak pembinaan Tanah Perkuburan Islam Paya Jaras, Sungai Buloh yang menyebabkan bau busuk.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan terkini berhubung kejadian tersebut yang melibatkan beberapa agensi.

“Buat masa ini, kita hentikan dahulu sebarang aktiviti kerana terdapat sedikit gangguan bau yang boleh membahayakan penduduk. Namun, semuanya masih dalam kawalan.

“Kawasan ini sebelum ini mempunyai cerun yang agak dalam, jadi kita tambak untuk ratakan permukaan. Buat masa ini, tapak sudah rata dan hanya menunggu proses selanjutnya.

“Bagaimanapun, kita hentikan dahulu sebarang proses sementara menunggu siasatan dijalankan dan jangka laporan diterima dalam tempoh sebulan lagi,” katanya ditemui pada majlis serahan baucar program sumbangan korban Kerajaan Selangor hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan beberapa aduan berhubung bau kurang menyenangkan diterima di tapak kawasan pembinaan tanah perkuburan itu sehingga mengganggu keselesaan penduduk.

Berikutan itu, EXCO Agama, Dr Mohammad Fahmi Ngah menjelaskan Kerajaan Negeri memandang serius aduan tersebut dan meminta pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.