ad
AGENDA

Peniaga rugi RM720,800 terperdaya sindiket pelaburan saham dalam talian

17 Mei 2025, 3:37 AM
Peniaga rugi RM720,800 terperdaya sindiket pelaburan saham dalam talian

JOHOR BAHRU, 17 MEI: Peniaga kerugian RM720,800 akibat terperdaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian 25 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Victor Genason berkata lelaki berusia 58 tahun itu melihat iklan di laman Facebook yang menawarkan pelaburan dengan menjanjikan keuntungan 50 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Beliau berkata tertarik dengan iklan itu, mangsa kemudian melakukan 15 transaksi ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM730,500 dari 25 Mac hingga 9 Mei lalu.

“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburannya.

"Bagaimanapun, lelaki itu menyedari dia ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan gagal dan hanya mendapat pulangan RM9,700," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Victor berkata siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun terlibat mempunyai 20 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.