AGENDA

Amirudin seru ahli KEADILAN perkuat saf, tolak politik kebencian

16 Mei 2025, 7:53 AM
Amirudin seru ahli KEADILAN perkuat saf, tolak politik kebencian

SHAH ALAM,16 MEI: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru semua ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)  memperkukuhkan perpaduan menjelang pemilihan parti yang akan berlangsung pada minggu depan.

Calon naib presiden itu berkata semua ahli perlu terus memperkuatkan saf perjuangan serta menolak politik kebencian demi memastikan KEADILAN kekal sebagai teras reformasi rakyat.

“Kurang seminggu menuju pemilihan, inilah masanya kita perkuat saf perjuangan, menolak politik benci dan perpecahan dan terus mara demi memastikan KEADILAN kekal sebagai teras reformasi rakyat!

“Ayuh kita laksanakan tanggungjawab dan pilih kepimpinan terbaik untuk bersama Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya di Facebook.

Amirudin akan mempertahankan jawatan naib presiden KEADILAN pada pemilihan penggal 2025/2028 yang berlangsung 23 Mei depan.

Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.