ad
AGENDA

Sultan Selangor titah tindakan tegas, elak kemalangan kenderaan berat terus berulang

15 Mei 2025, 2:35 AM
Sultan Selangor titah tindakan tegas, elak kemalangan kenderaan berat terus berulang

SHAH ALAM, 15 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemandu khususnya yang membawa kenderaan berat bagi mengelak kemalangan terus berulang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pemandu yang didapati bersalah hingga menyebabkan kematian atau kecederaan perlu didenda serta dipenjara, termasuk ditarik lesen.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Baginda mahu pemilik syarikat turut dikenakan tindakan sebagai pengajaran selain memastikan pemandu lebih berhati-hati dan memberi tumpuan ketika bekerja.

“Baginda mahu kerajaan mengambil serius. Baginda kesal kerana sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan terutama hukuman terhadap pemandu dan syarikat yang cuai dan tidak menepati syarat keselamatan.

“Melihat kepada jumlah kes dan tragedi  yang kian meningkat serta kadar kemalangan yang semakin kerap, tindakan segera yang lebih tegas perlu diambil,” titah baginda dalam perutusan takziah susulan tragedi kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Sultan Sharafuddin juga menggesa pengendali kenderaan berat termasuk bas untuk membuat penilaian ketat ketika memilih pemandu dan kelindan.

“Baginda turut mengingatkan semua pihak terlibat tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu.

“Baginda berharap dan berdoa tragedi sebegini yang membabitkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa khususnya yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara tidak lagi berulang,” katanya.

Selangor Royal Office memaklumkan Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin turut menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris anggota FRU terkorban.

“Duli-Duli Tuanku menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat,” katanya.

Pada Selasa, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Mereka adalah Sarjan S Perumal; Koperal Nurit Pandak; Koperal Amiruddin Zabri; Koperal Mohd Pozli Jaudin; Koperal Akmal Muhamad; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.