ad
AGENDA

Akibat pemandu bermasalah dan abai senggara lori, nyawa jadi galang ganti

14 Mei 2025, 12:00 AM
Akibat pemandu bermasalah dan abai senggara lori, nyawa jadi galang ganti
Akibat pemandu bermasalah dan abai senggara lori, nyawa jadi galang ganti
Akibat pemandu bermasalah dan abai senggara lori, nyawa jadi galang ganti
Akibat pemandu bermasalah dan abai senggara lori, nyawa jadi galang ganti

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi jalan raya yang berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan kenderaan berat dan pemandu lori yang mempunyai rekod lampau dengan nahas hari ini mengorbankan sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Tragedi yang berlaku pada 8.50 pagi di Jalan Chikus-Sungai Lampam itu dilaporkan berpunca daripada kerosakan sistem stering pada lori yang membawa muatan batu itu sebelum merempuh trak yang dinaiki 18 anggota FRU yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.

Kemalangan itu bukan sahaja menyebabkan sembilan wira negara maut, tetapi turut menyebabkan sembilan lagi cedera dan masih dirawat di Hospital Teluk Intan Perak.

Mereka yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, 44, Koperal Nurit Pandak, 34, Koperal Amiruddin Zabri, 38, Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, Koperal Akmal Muhamad, 35, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dan Sarjan Mohd Roslan Abdul Rahim, 46.

[caption id="attachment_700848" align="aligncenter" width="811"] Keadaan lokasi kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa konvoi pasukan FRU dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak pada 13 Mei 2025. Foto Facebook Orang Awam[/caption]

Mereka yang cedera pula ialah Sarjan Mazlan Mat,50, Sarjan Mohd Parih Ali, 44, Koperal Haslizal Mohd Ali, 44, Koperal Nizam Tarmizi, 38, Koperal Mohd Izwan Ishak, 39, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, dan Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26.

Proses bedah siasat kesemua mangsa dijangka selesai 11 malam ini dan jenazah mangsa yang beragama Islam akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk disembahyangkan dan kemudian akan dibawa ke Markas Unit 5, FRU Sungai Senam, Ipoh untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Menekankan kepentingan penyelenggaraan berkala kenderaan dilakukan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mahu bukan hanya pemandu lori berkenaan dikenakan tindakan, tetapi syarikat kenderaan terlibat juga harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan tegas.

Lebih mengejutkan apabila siasatan awal mendapati pemandu lori berumur 45 tahun itu memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah, malah Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin turut mengesahkan lelaki itu juga mempunyai beberapa kesalahan saman trafik tertunggak.

Ini bukan kali pertama kemalangan meragut nyawa dipengaruhi faktor pemandu mempunyai rekod jenayah dan pengabaian soal penyelengaraan kenderaan.

[caption id="attachment_700778" align="aligncenter" width="815"] Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan pada 13 Mei 2025. Foto Facebook Auni Ameera[/caption]

Antaranya pada 12 Mei 2022, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut selepas kenderaan mereka dan tiga lagi kereta dirempuh sebuah lori muatan pasir yang mengalami masalah brek.

Pada 16 Mac lepas pula, seorang kanak-kanak warga Singapura maut manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki dirempuh lori yang terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan dalam kemalangan di Jalan Pantai, Permas Jaya dan lori itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 57 tahun di bawah pengaruh dadah.

Peristiwa berdarah hari ini juga membuka lipatan sejarah duka yang berlaku 35 tahun lepas di Kilometer 31, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, iaitu 11 anggota FRU dari Trup 4B maut selepas trak dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan dipercayai akibat kegagalan brek.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada pakar dan ahli bebas akan ditubuhkan dalam masa terdekat, bagi menyiasat punca sebenar nahas serta merumus langkah penambahbaikan dari segi keselamatan jalan raya.

Loke pada Mac lepas menyatakan bahawa mana-mana syarikat lori yang bermasalah akan dikenakan tindakan tegas termasuk permit kenderaan digantung jika gagal mematuhi peraturan.

[caption id="attachment_700902" align="aligncenter" width="779"] Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat waris mangsa kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 13 Mei 2025. Foto BERNAMA[/caption]

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan berasingan pula menyatakan komitmen akan menjalankan siasatan terperinci selain jaminan bahawa kebajikan keluarga dan anggota yang terlibat akan dijaga sewajarnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media di Perak mengumumkan waris kepada sembilan anggota FRU yang terkorban bakal menerima bantuan kewangan dan pampasan antara RM58,000 hingga RM269,700 yang akan disalurkan secepat mungkin melalui beberapa tabung kebajikan.

Anggota yang cedera juga tidak diabaikan daripada menerima pampasan dan bantuan kewangan namun jumlahnya bergantung kepada penilaian pakar perubatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.