KUALA SELANGOR, 13 MEI: Selangor sedang membangunkan pelan induk air yang bakal merangkumi penyelesaian segala isu air termasuk masalah banjir di beberapa kawasan di negeri ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan induk yang dijangka siap tahun depan akan dijadikan garis panduan bagi mengurus sumber air, khususnya ketika musim kemarau atau lebihan air ketika banjir.
“Kalau kurang air akan sebabkan masalah bekalan, kalau lebih menyebabkan banjir. Jadi kita perlu lihat kedua-dua aspek ini secara menyeluruh, di samping menangani isu banjir dan sebagainya.
“Pelan induk itu ambil masa sedikit untuk disiapkan, mungkin setahun lagi. Yang penting kita perlu tahu bagaimana mahu urus lebihan air dan kalau berlaku kemarau di mana kolamnya,” katanya kepada pemberita.
[caption id="attachment_700864" align="aligncenter" width="1083"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600, di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedia mempertimbang cadangan untuk memperkemaskan lagi undang-undang bagi kesalahan mencemar sumber air di Selangor.
Menurutnya, ketika ini tidak banyak kesalahan pencemaran air dapat didakwa bawah enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), berikutan kekangan dalam urusan mencari bukti pesalah.
“Saya pernah tekankan sebelum ini supaya terjemah dan jelaskan enakmen LUAS yang telah kita ubah suai dan kemas kini itu, mempunyai beberapa tambah nilai yang membolehkan kita lakukan siasatan menyeluruh termasuk pendakwaan,” katanya.
Pada 2020, Rang Undang-undang (RUU) LUAS (Pindaan) 2020 diluluskan Dewan Negeri Selangor (DNS) menetapkan denda maksimum RM1 juta kepada pihak didapati bersalah mencemar sumber air.
Pindaan RUU itu turut meluluskan hukuman penjara dijadikan hukuman mandatori kepada pesalah selain memperuntukkan hukuman pencemar sumber air perlu membayar kos membersih kesan pencemaran kepada LUAS.
[caption id="attachment_700867" align="aligncenter" width="1344"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau stesen pam SJAM ketika Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_700868" align="aligncenter" width="1180"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan penyerahan kunci stesen Pam SJAM oleh perunding SMHB dan Glokal Sdn Bhd kepada Kerajaan Negeri ketika Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di Kolam Horas, Kuala Selangor pada 13 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


