ad
AGENDA

Modul sijil halal Malaysia dalam bahasa Jepun tersedia Oktober ini

13 Mei 2025, 2:47 AM
Modul sijil halal Malaysia dalam bahasa Jepun tersedia Oktober ini

OSAKA, 13 MEI: Halal International Selangor (HIS), dengan kerjasama CM Plus Corporation dari Jepun, telah membangunkan 10 modul e-Learning Halal dalam bahasa Jepun yang akan dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2025. Inisiatif ini dirangka untuk memperkukuh pemahaman dan amalan Halal serta kaedah memperolehi persijilan halal Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pemindahan ilmu, teknologi dan piawaian pensijilan Halal Malaysia ke pasaran global.

Menurut YB Dr. Mohammad Fahmi Ngah, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor: “Kerjasama ini mencerminkan bagaimana pemindahan pengetahuan dan sinergi dua hala dapat memperkukuhkan ekosistem Halal global. Melalui platform digital, kita bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri Halal, tetapi turut memperluaskan capaian pasaran Halal Malaysia ke peringkat antarabangsa.”

Encik Tetsuo Fujioka, Pengerusi CM Plus Corporation, menyatakan: “Kami amat menghargai kerjasama strategik bersama Halal International Selangor dalam membangunkan kandungan pembelajaran Halal yang tersusun dan diyakini. Ini adalah satu langkah penting untuk menyokong syarikat Jepun memahami dan memasuki pasaran Halal dunia.”

Encik Muhammad Syaril Bin Showkat Ali, Pengurus Besar HIS memaklumkan bahawa perbincangan bersama CM Plus Corporation memberi fokus kepada pelaksanaan dan peluasan modul e-Learning Halal. Kandungan modul disesuaikan bagi pengguna industri Jepun dan kekal patuh kepada keperluan pensijilan Halal Malaysia.

Melangkah ke depan, HIS dan CM Plus berhasrat memperluaskan pelaksanaan modul ini ke rantau Asia Timur, Eropah, dan negara-negara OIC. HIS juga sedang meneliti kemungkinan melibatkan universiti dan institusi latihan sebagai rakan pengiktiraf modul.

Sebagai sebahagian daripada penyertaan di World Expo 2025 Osaka, Halal International Selangor telah mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan bagi mempromosikan perkhidmatan serta produk-produk di bawah Program Authorised HIS Operator (AHO) kepada pasaran Asia Timur. Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkukuh penjenamaan Halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.