ad
AGENDA

Sepak takraw Piala Asia: Malaysia belum mampu jinakkan Thailand

11 Mei 2025, 12:42 AM
Sepak takraw Piala Asia: Malaysia belum mampu jinakkan Thailand

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Malaysia tewas 0-2 di tangan seteru utama, Thailand, pada perlawanan kedua acara double saingan Kumpulan B pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di sini malam tadi.

Walaupun gamat dengan sokongan penonton di Stadium Titiwangsa, skuad negara dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi terpaksa bergelut dengan keampuhan gandingan Boonkoom Tipwong dan Sirisak Anuloon dalam gelanggang.

Kesilapan servis dilakukan Aidil Aiman turut merencatkan usaha Malaysia untuk mendominasi perlawanan menyebabkan Thailand menguasai set pertama dengan 15-10.

Pada set kedua menyaksikan perlawanan semakin mendebarkan dengan kedua-dua pasukan saling mengejar mata, namun libasan berbahaya pemain Thailand telah menghukum pemain negara dengan keputusan 17-15.

Kekalahan malam tadi menyebabkan Malaysia berdepan misi wajib menang apabila berdepan Taiwan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B untuk mengesahkan slot separuh akhir, esok.

Thailand yang mengungguli kumpulan selepas perlawanan malam tadi, dijadualkan berdepan Nepal.

“Macam mana pun kita kena menang ke atas Taiwan esok. Bagi saya peluang masih terbuka untuk ke peringkat seterusnya,” kata jurulatih double kebangsaan Aswadi Abdullah ketika ditemui.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.