ad
AGENDA

Rafizi: Menang atau kalah, saya tetap bantu perkuatkan KEADILAN

7 Mei 2025, 7:08 AM
Rafizi: Menang atau kalah, saya tetap bantu perkuatkan KEADILAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Tanpa mengira keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan datang,

Datuk Seri Rafizi Ramli akan terus menyumbang kepada pengukuhan parti itu.

Timbalan presiden KEADILAN itu berkata apa jua pilihan perwakilan, ia membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan menguatkan parti berdepan pilihan raya umum ke-16.

"Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

"Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Membayangkan bersedia mempertahan jawatan sama dalam pemilihan kali ini, wakil rakyat Pandan itu mengalu-alukan calon lain untuk turut bertanding demi memperkuatkan parti.

Jelas Rafizi, keputusan untuk bertanding adalah hak masing-masing dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi seperti yang ditekankan parti berkenaan.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua aktivis dan pimpinan KEADILAN di semua peringkat yang memberi pelbagai pandangan dalam tempoh seminggu yang lepas.

Beliau berpandangan beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini tidak kira kecil atau besar sedang diperhatikan rakyat, justeru ia perlu ditangani secara berhemah.

"Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri.

"Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban, bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan," katanya lagi.

Pencalonan bagi jawatan-jawatan peringkat pusat seperti naib presiden dan timbalan presiden dibuka dalam talian antara 12.00 tengah malam 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei.

Sementara pengundian bagi jawatan-jawatan tersebut akan berlangsung pada 23 Mei.

Selain Rafizi, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dicalon untuk jawatan timbalan presiden.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.