Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 5 MEI: Usaha Selangor menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan kerajaan bukan sekadar mengikuti arus global, sebaliknya merombak cara penyampaian perkhidmatan awam agar lebih pantas, efisien dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Pakar berpendapat inisiatif Teraju AI bernilai RM5 juta yang dijalankan bersama Google Cloud Malaysia berpotensi menjadi model pentadbiran bertenaga AI berskala besar, sekali gus meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan kos dan menggalakkan penglibatan rakyat.
“Sistem AI mampu menyatukan, mengesahkan dan menyebar maklumat kerajaan secara masa nyata. Paparan papan pemuka awam yang tepat dapat membendung rasuah, meningkatkan kepercayaan rakyat dan mengurangkan penyebaran maklumat palsu,” kata ahli ekonomi, Samirul Ariff Othman.
Perunding kanan Global Asia Consulting itu memberi contoh antara muka berasaskan AI yang menjejak prestasi pihak berkuasa tempatan atau peruntukan belanjawan secara langsung, membantu mengelakkan ketirisan serta memperkukuh ketelusan fiskal.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nor Raihana Mohd Ali turut berkongsi pandangan serupa, menyatakan AI membolehkan peralihan daripada tadbir urus reaktif kepada model proaktif.
“Tadbir urus berasaskan AI membolehkan sektor awam bertindak lebih awal dengan berpandukan data bernilai,” katanya.
Menurut Dr Raihana dari Fakulti Kecerdasan Buatan UTM, kesan paling ketara pelaksanaan AI dalam perkhidmatan kerajaan dapat dilihat menerusi pengalaman pengguna.
Beliau menjelaskan peralihan ini dapat mengurangkan kunjungan ke kaunter kerajaan dan menggantikan prosedur kompleks berasaskan kertas dengan pembantu digital dan platform mudah alih, sekali gus memperluas capaian ke kawasan luar bandar atau kurang mendapat perkhidmatan.
“Dengan menyepadukan AI dalam sistem pentadbiran, Selangor bukan sahaja dapat menjimatkan kos operasi, malah memperbaiki perancangan strategik serta pelaksanaan dasar dengan lebih tepat dan responsif,” tambahnya.
Samirul pula berkata automasi boleh mengurangkan kesilapan pentadbiran dan mempercepat proses seperti kelulusan permit dan perolehan.
Namun beliau menekankan bahawa transformasi ini perlu dipandu dasar yang jelas.
“Kepercayaan awam adalah tunjang transformasi digital. Sekiranya data peribadi disalah guna atau digunakan tanpa persetujuan, ia boleh mencetuskan reaksi negatif, keengganan untuk terlibat, bahkan tindakan undang-undang.
“Masalah etika seperti bias dalam algoritma atau keputusan yang tidak telus boleh membawa akibat ekonomi - kegagalan pelaksanaan, litigasi atau keperluan membina semula sistem yang akhirnya membazirkan sumber.
“Maka, penetapan kerangka jelas mengenai privasi data, kebertanggungjawaban algoritma dan pengawasan manusia penting untuk memastikan kelestarian jangka panjang serta inovasi bertanggungjawab,” katanya.
Dr Raihana turut menegaskan keperluan program latihan semula komprehensif yang bukan sahaja menumpukan kemahiran teknikal tetapi juga keupayaan menyesuaikan diri, berfikir kritis dan kesedaran etika.
“Dasar awam harus menekankan peningkatan kemahiran berpusatkan manusia, merangkumi etika digital dan kerjasama manusia-AI.
“Kerjasama latihan antara sektor awam-swasta, termasuk universiti, syarikat teknologi dan masyarakat sivil penting untuk memastikan latihan semula kekal relevan dan bersifat jangka panjang.”
Beliau mencadangkan program sokongan seperti padanan kerja dan platform mikro-kredensial bagi membantu pekerja menyesuaikan diri dalam peralihan ini dengan lebih yakin dan bermaruah.
Tambahnya, teraju AI mencerminkan komitmen Selangor bukan sahaja dalam membina infrastruktur teknologi, malah mewujudkan kepercayaan digital.
Program itu dilancarkan secara rasmi pada 24 Mac lalu, melibatkan komitmen selama tiga tahun membangunkan penyelesaian berasaskan AI di jabatan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi fasa pertama, melibatkan 11 agensi termasuk Dewan Negeri Selangor dalam projek perintis.
“Teraju AI berasaskan pendekatan penyelesaian masalah, di mana setiap jabatan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu halangan dan bekerjasama dengan pakar Google membangunkan produk minimum yang boleh digunakan (MVP) menggunakan AI,” katanya ketika pelancaran.
Tambah beliau, teraju AI juga bertujuan membuka akses sistem kerajaan kepada orang awam bagi meningkatkan ketelusan dan ketepatan data yang boleh diakses.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Google Cloud dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bagi menubuhkan Inkubator Industri AI untuk menyokong syarikat pemula dan PKS dari aspek pembelajaran, pembangunan dan skala operasi.
Peserta dari 11 agensi yang menamatkan program akan menerima pensijilan Google Cloud, manakala yang gagal berbuat demikian perlu menanggung kos latihan sepenuhnya.
Inisiatif ini melengkapi usaha kerajaan persekutuan yang baru-baru ini melancarkan program AI at Work 2.0 menerusi Pejabat AI Kebangsaan, yang menyasarkan latihan kepada 445,000 penjawat awam dalam penggunaan alat generatif AI.


