OSAKA, 5 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan merasmikan pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia pada Ekspo Dunia Osaka 2025 di sini, hari ini.
Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO, Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Pengarah Pavilion Malaysia Ellyza Mastura Ahmad Hanipiah.
Baginda berkenan menurunkan tandatangan pada plak disediakan sebagai simbolik perasmian dan merasmikan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) pada pameran bertaraf dunia itu.
Baginda kemudian berkenan menyaksikan persembahan lagu TMS2025 dengan tema ‘Surprising Selangor’ oleh kumpulan Balle-Balle serta tarian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
[caption id="attachment_699716" align="aligncenter" width="1176"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 5 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tengku Amir Shah turut berangkat mengunjungi pameran yang dikendalikan agensi negeri seperti Tourism Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Selangor Youth Community (SYC), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan pelbagai lagi.
Baginda seterusnya menyaksikan pemeteraian dua kolaborasi strategik oleh Worldwide Holdings Berhad bersama Global Energy Store Holdings Pte.Ltd, Battery Energy Storage System dan Guangzhou Great Power Energy & Technology Co. Ltd.
Perjanjian melibatkan pembangunan rangkaian infrastruktur gas bersepadu di Selangor untuk menyokong peralihan rendah karbon negara dan keselamatan tenaga dalam tempoh jangka panjang.
Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan anugerah kepada sembilan rakan pelabur Jepun di Selangor yang menyumbang kepada pembangunan negeri.
Baginda yang juga Pengerusi Selangor FC turut menyaksikan pengumuman kerjasama antara pasukan gergasi merah kuning bersama HARO Sports and Entertainment serta SUPER GT Malaysia untuk menghasilkan kandungan kolaborasi dan barangan jenama bersama secara eksklusif.
Dianjurkan oleh Invest Selangor, pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Penyertaan Pavilion Malaysia yang bertemakan "Weaving a Future in Harmony" dalam ekspo itu merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.
[caption id="attachment_699711" align="aligncenter" width="1251"] Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 pada 5 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699712" align="aligncenter" width="1110"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 5 Mei 2025. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699713" align="aligncenter" width="1173"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada pelabur Jepun di Selangor ketika Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 5 Mei 2025. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699715" align="aligncenter" width="1167"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama kumpulan muzik Balle Balle Kuala Selangor ketika melawat pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 5 Mei 2025. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]