AGENDA

Lima daerah Selangor, KL dan Putrajaya diramal ribut petir hingga 4 petang

2 Mei 2025, 6:46 AM
Lima daerah Selangor, KL dan Putrajaya diramal ribut petir hingga 4 petang

SHAH ALAM,2 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang hingga 4 petang.

Cuaca hujan disertai ribut petir turut dijangka melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak,  Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain itu cuaca turut melanda beberapa daerah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Agensi itu memaklumkan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.