ad
AGENDA

PM: Malaysia perkukuh kerjasama melangkaui ASEAN, jalin perkongsian dengan Maldives

28 Apr 2025, 12:00 PM
PM: Malaysia perkukuh kerjasama melangkaui ASEAN, jalin perkongsian dengan Maldives

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Malaysia sedang menggiatkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam ASEAN dan juga dengan negara jiran lain seperti Maldives, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun Malaysia mengutamakan hubungan lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN, namun ia juga perlu meluaskan penglibatannya melangkaui rantau ini ke negara sahabat yang berkongsi aspirasi bersama untuk pembangunan dan kemakmuran.

"Dalam konteks ini, Maldives merupakan rakan penting. Kami menghargai bukan sahaja hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Maldives tetapi juga melihat potensi yang sangat besar untuk mengembangkan kerjasama kami dalam perdagangan, pelaburan, inovasi digital dan kelestarian alam sekitar," kata Anwar menerusi ucaptama beliau pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia, sejak menjadi Presiden pada November 2023, atas jemputan Anwar.

Perdana menteri berkata Malaysia dan Maldives telah lama bersahabat, berkongsi dasar serta sistem politik yang sama dan mempunyai hubungan dua hala yang kukuh.

"Dengan kepimpinan kerajaan sekarang di Maldives, kini terdapat keazaman untuk memajukan negara dengan dasar lebih jelas," kata beliau.

Terdahulu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman dan dua perjanjian meliputi pelbagai sektor bagi mengukuhkan kerjasama untuk manfaat bersama.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Maldives meningkat 4.3 peratus kepada US$189 juta (RM862.7 juta) daripada US$180.9 juta (RM827.3 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.