SHAH ALAM, 26 APRIL: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri, Selangor Saring akan diteruskan di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program peringkat DUN Sungai Air Tawar akan berlangsung 3 Mei di Dewan Seri Nakhoda bermula 9 pagi hingga 3 petang.
Seterusnya program dijadual diteruskan pada 4 Mei di Dewan Serbaguna MBPJ PJS6/1, Kampung Lindungan (DUN Seri Setia) dan Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Hulu Langat, DUN Sungai Ramal (11 Mei).
Selain itu Dewan Sivik MBPJ di DUN Bukit Gasing (17 Mei), Dewan Serbaguna Kerayong, DUN Sementa (25 Mei) dan Dewan Kampung Sungai Buaya, DUN Batang Kali (31 Mei).
[caption id="attachment_689385" align="alignleft" width="500"]
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ditemui media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma bagi pemeriksaan fizikal, darah, air kencing, barah, mata, gigi dan lain-lain.
“Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika ada masalah pendaftaran,” katanya menerusi Facebook.
Beliau menyarankan orang ramai mendaftar program Selangor Saring menerusi empat langkah berikut:
- Memuat turun aplikasi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
- Tekan butang Selangor Saring
- Isi borang soal selidik
- Pilih lokasi dan tarikh program
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.
Ia bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.



