OLEH CHUA CHEE HWAI
SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepatkan kerja pembersihan dan naik taraf sistem saliran sebagai langkah segera mengurangkan risiko banjir.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim, berkata tindakan itu perlu sementara menunggu pelaksanaan projek tebatan banjir berskala besar oleh kerajaan Persekutuan yang kini masih dalam peringkat awal.
“Setakat ini, terdapat enam projek besar di Selangor, namun tiga hingga empat daripadanya masih di peringkat reka bentuk atau baru bermula. Jadi, Kerajaan Negeri perlu bertindak segera,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, antara punca utama banjir kilat di Selangor baru-baru ini termasuk parit tersumbat, sistem saliran yang tidak mencukupi serta hujan lebat dalam tempoh singkat.
Justeru, katanya, semua PBT diarahkan untuk lebih proaktif dan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan kerja pembersihan dijalankan secara berkesan.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti kemungkinan melebarkan parit di kawasan yang mempunyai ruang mencukupi tanpa melibatkan pengambilan tanah, bagi mempercepat pelaksanaan projek penaiktarafan.
“Kami sedar kesusahan yang ditanggung rakyat akibat banjir. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus menilai dan memperbaiki sistem pengurusan bagi mengurangkan risiko banjir secara berkesan,” katanya.
Minggu lalu, banjir kilat kembali melanda Taman Sri Muda susulan hujan lebat sejak tengah malam diikuti air laut pasang.