SHAH ALAM, 20 APRIL: Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat diramal hujan lebat, ribut petir dan angin kencang hingga 3 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama dijangka berlaku di Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Sarawak (Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Selangau) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat) serta Sabah iaitu di Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



