SHAH ALAM, 19 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda tujuh daerah di Selangor hingga 5 petang.
Agensi itu memaklumkan daerah terlibat ialah Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Amaran sama dikeluarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut MetMalaysia di Facebook, cuaca sama juga dijangkan berlaku di seluruh Perlis dan Melaka selain beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



