ad
AGENDA

MB: Selangor teliti haramkan penjualan vape, laksana jika perlu

18 Apr 2025, 1:41 PM
MB: Selangor teliti haramkan penjualan vape, laksana jika perlu

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor, khususnya yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik dalam kalangan remaja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan bersama EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Perkara ini juga tertakluk kepada peraturan Kerajaan Persekutuan. Namun, saya melihat keperluan untuk membawa isu ini ke meja perbincangan bersama pihak terlibat seperti EXCO dan JKNS.

“Saya perlu dapatkan fakta dan pandangan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS, hari ini.

Amirudin yang juga Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor menegaskan bahawa situasi penagihan dadah di negeri ini masih terkawal.

"Yang kadang-kala orang uar-uarkan itu adalah data keseluruhan. Data keseluruhan memang wajarlah sebab Selangor ada tujuh juta populasi dan Kelantan mungkin tidak sampai dua juta populasi.

"Tetapi kalau mahu tengok, kita kena tengok data per 100,000 yang lebih tepat melihat bagaimana penyakit penagihan dadah ini berlaku,” katanya.

“Tetapi untuk penilaian yang lebih adil, kita perlu lihat data per 100,000 penduduk, ia lebih tepat dalam memahami pola sebenar penagihan,” jelas beliau.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga mempergiat saringan bagi mengesan individu yang terlibat dalam gejala dadah, termasuk dalam kalangan remaja.

"Baru-baru ini, kita telah mencuba satu alat buat saringan dengan lebih mudah dan kita akan memperbanyakkan saringan supaya dapat kesan individu yang terlibat dalam dadah walaupun seawal usia muda," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape.

Tindakan itu susulan ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.