SHAH ALAM, 18 APRIL: Dato’ Menteri Besar Selangor memuji perkembangan pesat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang kini menjadi antara pemain utama dalam memperkukuh jaminan bekalan makanan di negeri ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PKPS bukan lagi sekadar pemilik ladang kelapa sawit, malah berkembang dengan pelbagai inisiatif strategik termasuk rantaian runcit dan pengurusan bekalan makanan asas.
“PKPS telah menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan apabila berjaya memperluas peranan mereka daripada pengurusan ladang kepada pelaksanaan program runcit seperti Ehsan Mart dan Jualan Ehsan Rahmah (JER).
“Rantaian ini menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan program Gudang Makanan Selangor yang menyumbang besar dalam memastikan kestabilan harga dan kelangsungan bekalan makanan di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Ehsan Raya PKPS di Wisma PKPS hari ini.
Tambah beliau, langkah seperti penubuhan Gudang Makanan Selangor pada 22 Mac lalu merupakan antara strategi penting Kerajaan Negeri untuk mengekang kebergantungan kepada import serta membantu meringankan beban rakyat.
Gudang yang beroperasi di fasiliti Tiong Nam, Pelabuhan Klang, mampu menampung 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku jenama Allana, mencukupi untuk keperluan kira-kira 20 peratus penduduk Selangor.
“Kita bangga kerana semua inisiatif ini digerakkan dengan semangat ehsan, memberi tanpa mengharapkan balasan. Semangat inilah yang perlu kita kekalkan, bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi dalam seluruh kehidupan bermasyarakat,” katanya lagi.
Pada majlis itu, Amirudin turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 20 kakitangan PKPS sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam melonjakkan prestasi agensi tersebut.


