ad
AGENDA

Cubaan seludup bunga ganja bernilai lebih RM3.5 juta ke Eropah gagal

18 Apr 2025, 10:31 AM
Cubaan seludup bunga ganja bernilai lebih RM3.5 juta ke Eropah gagal

PETALING JAYA, 18 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup lebih 36 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3,567,595 ke Eropah dengan menggunakan perkhidmatan pos, pada 2 April lalu.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata dadah itu dikesan hasil imbasan ke atas beberapa bungkusan mencurigakan di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

“Modus operandi pihak terlibat ialah membuat ikrar tidak benar dalam borang bil udara dengan menyatakan barangan itu sebagai buku, pakaian dan alat permainan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil penilaian fizikal mendapati kandungan bungkusan itu tidak sepadan dengan maklumat dinyatakan dalam borang bil udara, sekali gus mengesahkan keraguan pihak kami,” katanya di Kompleks Kastam Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Taufik berkata alamat penghantar yang digunakan adalah tidak lengkap atau merujuk kepada premis tidak berkaitan antaranya di Pulau Pinang, Kuantan dan Lembah Klang.

“Dadah itu dipercayai untuk dihantar ke beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom. Kami percaya sumber dadah juga dari luar negara berdasarkan rekod sebelum ini,” katanya

Beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan JKDM bekerjasama dengan polis bagi mengesan rangkaian sindiket terbabit.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.