SHAH ALAM, 14 APRIL: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentang tahun depan diperkemas dengan mengambil kira hasrat dan aspirasi akar umbi, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata misi dan visi RS-2 amat jelas iaitu memastikan setiap lokaliti di seluruh Selangor terus berdaya saing, makmur dan berdaya huni.
"Berdaya huni di setiap penempatan berbeza dan ia bukan impian negeri sahaja... semua kena ada impian tersebut dan sebab itu projek ini dilaksanakan,
"Ini motif kita supaya manfaat RS-2 tidak hanya tertumpu di pusat semata-mata sebaliknya di setiap pelusuk negeri. Kerajaan Negeri mahu rakyat Selangor memilik dan mempunyai RS-2," ucapnya pada sesi bengkel strategik RS-2 di sini, hari ini.
[caption id="attachment_696651" align="alignnone" width="779"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama peserta bengkel strategik bilangan 2 Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 14 April 2025. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan RS-2 yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri memberi tumpuan kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan negeri.
Mengulas lanjut, Amirudin turut memaklumkan pelaksanaan RS-2 kelak akan dipantau Unit Implementasi dan Pemantauan Prestasi (SIAP) yang diumum beliau pada Belanjawan Selangor 2022.
"Unit ini ditubuhkan selepas RS-1 dibentang dan bermula, jadi hampir separuh pelaksanaan rancangan ini tanpa pemantauan yang jitu dan kukuh.
"Alhamdulillah, kini kita ada SIAP yang berfungsi untuk memantau di peringkat pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah termasuk taman supaya semua dirancang dalam RS-2 dapat direncana lebih kemas," katanya.