KLANG, 14 APRIL: Kemeriahan Aidilfitri bukan sekadar tentang rumah terbuka dan hidangan enak, tetapi juga tentang mencipta detik-detik bermakna bersama keluarga. Bagi menghidupkan lagi semangat perayaan, Pusat Borong GM Klang membawakan pelbagai aktiviti menarik melalui kempen Rancak Rioooh Raya 2025, termasuk acara utama "Gina & Mat Got Talent" Edisi Raya, sebuah pertandingan mencungkil bakat khas untuk si cilik yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 19 April 2025.
Dianjurkan dengan kerjasama Smart Reader Kids, pertandingan ini bertujuan memberi ruang kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun untuk menyerlahkan bakat mereka dalam pelbagai kategori seperti tarian, nyanyian, bercerita dan lain-lain bertemakan Hari Raya. Selain menjadi platform untuk mengetengahkan bakat kanak-kanak, acara ini turut mengukuhkan lagi kedudukan GM Klang sebagai destinasi utama untuk membeli-belah dan hiburan keluarga.
“Kami sentiasa berusaha mencipta pengalaman bermakna buat setiap pengunjung, terutama sekali keluarga yang berkunjung ke GM Klang. Selain menawarkan pelbagai keperluan borong, kami mahu menjadikan setiap kunjungan di sini lebih istimewa, terutamanya buat kanak-kanak. Tambahan pula, GM Klang terkenal dengan rangkaian produk kanak-kanak seperti permainan kanak-kanak, fesyen dan aksesori,” kata Puan Norsuhaida Othman, Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang.
Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang bertemu dan bergambar bersama maskot kesayangan ramai iaitu Gina & Mat, menyertai pelbagai permainan menarik seperti Samping Sprint dan Sauk Kuih, serta mencuba aktiviti menganyam ketupat – seni tradisional yang menyuntik sentuhan nostalgia Aidilfitri. Suasana menjadi lebih meriah dengan persembahan istimewa daripada artis jemputan kegemaran kanak-kanak, Iman Darwisy dan Amad Dayyan, yang pastinya menceriakan pentas dan menghiburkan semua yang hadir.
Jom raikan kemeriahan Aidilfitri bersama kami di GM Klang. Ajak seluruh keluarga, datang bergembira dan cipta memori indah bersama si cilik dalam suasana penuh warna dan ceria. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah menanti anda, jadi jangan lepaskan peluang untuk jadi sebahagian daripada kemeriahan ini!
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari laman web rasmi GM Klang atau ikuti kami di Facebook dan Instagram untuk info terkini dan sorotan menarik sepanjang musim perayaan ini.