SUBANG JAYA, 13 APRIL: Seorang Sukarelawan Selangor (SERVE) terharu dapat menabur bakti membantu membersih lokaliti terjejas akibat letupan saluran gas di Putra Heights.
Pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Aina Shahirah Roslee, 20, berkata ini merupakan kali pertama beliau terlibat dengan kerja pembersihan di kawasan ditimpa musibah.
[caption id="attachment_696541" align="alignleft" width="354"] Sukarelawan Selangor (Serve) Aina Shahirah Roslee[/caption]
“Saya memang suka dengan kerja sukarelawan dan sebelum ini melakukannya di rumah anak-anak yatim sahaja. Memang pengalaman berbeza sepenuhnya kerana perlu lakukan kerja dalam keadaan panas.
“Bagaimanapun, saya melihat secara positif dan berharap kerja dilakukannya dapat membawa keceriaan sekali gus meringankan beban mangsa letupan,” katanya memaklumkan akan terus mengikuti kerja pembersihan jika diberi peluang.
[caption id="attachment_696542" align="alignright" width="345"] Penjawat awam Nor Azlina Ariffin[/caption]
Bagi penjawat awam, Nor Azlina Ariffin, 53, beliau bersyukur dan berterima kasih dengan adanya Ops Mega Pembersihan di kawasan terjejas termasuk kediamannya di Putra Harmoni.
“Terima kasih daripada semalam bantu bersihkan persekitaran rumah yang kotor termasuk menebang pokok-pokok kering akibat letupan.
“Banyak juga barang dibuang kerana rosak sebab atap rumah rosak menyebabkan air masuk. Antara barang rosak sofa, televisyen dan beberapa kelengkapan lain,” katanya.
[caption id="attachment_696543" align="alignleft" width="354"] Ahli perniagaan Asyraf Raman[/caption]
Ahli perniagaan, Asyraf Raman, 41, pula berkata beliau mengambil inisiatif membantu meletakkan atap baharu di kediaman jiran yang rosak bagi mengelak terus mengalami kerugian.
“Apabila dibenarkan masuk ke kediaman oleh polis, saya melihat atap rumah rosak sekali gus sebabkan banyak barang tidak boleh digunakan.
“Saya ambil inisiatif untuk beli atap untuk tutup kebocoran dan bantu lakukannya di beberapa rumah jiran yang tidak rosak sepenuhnya dengan mengupah kontraktor luar,” katanya.
Pada 1 April lalu, berlaku letupan berikutan saluran paip gas Petronas dan menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
[caption id="attachment_696528" align="alignnone" width="916"] Sukarelawan membersihkan kawasan sekitar Putra Harmoni di Putra Heights, Subang Jaya pada 13 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]