SHAH ALAM, 12 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempergiat usaha pembersihan sistem perparitan agar tidak tersumbat bagi mengelak kejadian banjir kilat.
Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat semalam berikutan hujan lebat selain berlakunya fenomena air pasang.
“Setakat ini, beberapa kawasan telah surut namun bagi memastikan laluan air lancar, setiap sistem perparitan termasuk longkang dan parit erong bersih daripada sampah serta daun.
“Kita berharap inisiatif dan usaha dilaksana ini dapat elak kejadian banjir kilat sekali gus memastikan tiada longkang-longkang tersumbat,” katanya dihubungi Selangorkini.
[caption id="attachment_696324" align="alignnone" width="850"] Situasi banjir di Taman Sri Lembayung, Seksyen 25 dan Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam pada 11 April 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam[/caption]
Beliau juga memaklumkan buat masa ini, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan menempatkan 377 mangsa daripada 102 keluarga di Dewan Kenanga Seksyen 28 dan Dewan Bakawali Seksyen 35.
Seramai 1,104 mangsa banjir membabitkan 300 keluarga berlindung di enam PPS di Shah Alam, Klang dan Subang Jaya sehingga jam 9.15 pagi tadi, menurut portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Empat lagi PPS ditutup berikutan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman dan diarah berpindah ke Dewan Bakawali Seksyen 35,” ujarnya.
Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811.
Hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam termasuk jalan utama di hadapan gudang HL, Seksyen 23, Sri Muda dilanda banjir kilat.
Selain Shah Alam, beberapa kawasan di Klang, Puchong dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat.