Pakar: Pastikan pemaju pasang perangkap kelodak, elak banjir kilat

30 Apr 2026, 7:00 AM
Pakar: Pastikan pemaju pasang perangkap kelodak, elak banjir kilat
Pakar: Pastikan pemaju pasang perangkap kelodak, elak banjir kilat

SHAH ALAM, 30 APR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tegas terhadap pemaju termasuk memastikan perangkap kelodak dipasang di setiap tapak pembinaan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan bandar.

Menurut Pakar Hidrologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Nurhidayu Abu Bakar, ia bertujuan mengelakkan pasir dan lumpur memasuki sistem saliran awam hingga menjejaskan aliran air.

Beliau juga menjelaskan kegagalan mengawal kelodak boleh menyebabkan pemendapan dalam sungai dan longkang hingga mengurangkan keupayaan sistem saliran menampung air ketika hujan lebat.

Pakar hidrologi Universiti Putra Malaysia Dr Siti Nurhidayu Abu Bakar

Pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar itu juga menjelaskan aspek penyelenggaraan fizikal sistem saliran juga perlu diberi perhatian serius dan dijalankan secara konsisten.

“Longkang, parit dan saluran utama perlu dibersihkan secara berkala daripada sampah sarap, sedimen dan daun kering yang boleh menghalang aliran air terutama musim hujan,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, Dr Siti Nurhidayu berkata PBT juga bertanggungjawab memastikan kolam tadahan sentiasa diselenggara dengan baik bagi mengekalkan kapasiti takungan air pada tahap optimum.

"Kolam tadahan perlu dibersihkan daripada mendapan kerana sedimen yang terkumpul boleh mengurangkan kapasiti takungan sekali gus menjejaskan fungsinya ketika hujan lebat,” katanya.

Sambil menekankan keperluan menaik taraf saliran lama yang tidak mampu menampung peningkatan air akibat pembangunan pesat dan perubahan guna tanah, beliau berkata kolam tadahan yang jarang digunakan menyebabkan mendapan terkumpul.

PBT juga perlu merancang rangkaian saliran lebih menyeluruh, berkesan dan mesra alam mengikut garis panduan seperti Manual Saliran Mesra Alam (MASMA), kata Dr Siti Nurhidayu lagi.

“Perancangan sistem perparitan perlu mengambil kira peningkatan aliran air permukaan serta memastikan jaringan saliran berfungsi secara bersepadu dalam mengurus lebihan air semasa hujan lebat.

“Jika semua aspek ini dilaksanakan dengan baik, sistem saliran sedia ada akan lebih berfungsi dan mampu mengurangkan impak banjir kilat di kawasan bandar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.