ad
AGENDA

Kemalangan maut catat penurunan 41 peratus dalam Op Selamat, 91,727 saman dikeluarkan

12 Apr 2025, 2:35 AM
Kemalangan maut catat penurunan 41 peratus dalam Op Selamat, 91,727 saman dikeluarkan
Kemalangan maut catat penurunan 41 peratus dalam Op Selamat, 91,727 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kes kemalangan maut di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April, merekodkan penurunan 41 peratus.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata jumlah kemalangan maut menurun kepada 77 kes berbanding 131 kes tahun lalu.

“Alhamdulillah, turut berkurangan ialah jumlah kematian akibat kemalangan dengan merekodkan 85 kematian menurun sebanyak 59 kematian, bersamaan 41 peratus berbanding 144 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, malam tadi.

[caption id="attachment_622552" align="alignleft" width="500"] Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto Bernama[/caption]

Dalam pada itu, beliau berkata kemalangan jalan raya meningkat 408 kes bersamaan empat peratus iaitu 9,859 kes berbanding 9,451 kes pada tahun lalu.

“Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia juga semakin meningkat sehingga mencecah lebih 36.6 juta turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan terlibat kemalangan dalam Op Selamat edisi ini,” katanya.

Beliau berkata 432 lokasi tumpuan dan 122 lokasi hitam dikenal pasti serta diberi perhatian, melibatkan lebuh raya utama, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan di seluruh negara.

“Penguatkuasaan undang-undang menerusi sekatan jalan raya di lokasi kerap berlaku kemalangan maut, merupakan antara langkah pencegahan yang berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi terlibat,” katanya.

Ayob Khan berkata 91,727 saman dikeluarkan di seluruh negara, meningkat 1,087 saman bersamaan satu peratus berbanding 90,640 saman ketika Op Selamat 22.

Beliau berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi, dengan 52 kematian berbanding 93 kematian yang direkodkan tahun lalu, berkurangan 41 kematian bersamaan 44 peratus.

Ayob Khan berkata Op Selamat kali ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan harta benda dan premis yang ditinggalkan.

“Sepanjang tempoh terbabit, 12,773 pemakluman “Balik Kampung” diterima berbanding 10,869 pemakluman pada Aidilfitri tahun lalu, dengan 76,274 rondaan dijalankan iaitu meningkat 27 peratus berbanding 55,837 rondaan pada edisi sebelumnya.

“Rondaan melibatkan elemen termasuk 37,429 rondaan Multi Purpose Vehicle (MPV), 14,176 rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), 20,311 rondaan melibatkan elemen balai dan 4,358 lain-lain rondaan,” katanya.

Sebelum ini, 6,957 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan 2,742 anggota dan pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), terlibat secara langsung dengan Op Selamat 24.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.