EXCO

Banjir: Penduduk terjejas dinasihat waspada ketika kendali peralatan elektrik

11 Apr 2025, 1:00 PM
Banjir: Penduduk terjejas dinasihat waspada ketika kendali peralatan elektrik
Banjir: Penduduk terjejas dinasihat waspada ketika kendali peralatan elektrik
Banjir: Penduduk terjejas dinasihat waspada ketika kendali peralatan elektrik

SUBANG JAYA, 11 APRIL: Dato’ Menteri Besar menasihatkan penduduk di kawasan terjejas bah mengambil langkah waspada dalam mengendalikan peralatan elektrik di kediaman masing-masing.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan kejadian seorang warga asing yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika meredah banjir di Shah Alam.

[caption id="attachment_696241" align="aligncenter" width="812"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Tragedi Putra Height di Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Masjid Putra Height, Subang Jaya pada 11 April 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Setakat ini kita terima laporan seramai 137 mangsa banjir. Saya juga sedang kesan maklumat satu kematian di Taman Sri Muda, membabitkan warga asing.

“Oleh sebab itu juga pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa mengambil tindakan mematikan elektrik di kawasan terbabit. Kita juga minta mangsa dapat matikan suis masing-masing di rumah,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan wang tunai kepada 265 pelajar terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian banjir di sebuah stor menyimpan barang pembinaan di Taman Alam Indah di Seksyen 25, Shah Alam.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim dilapor berkata pihaknya menerima laporan kejadian membabitkan warga Sri Lanka berusia 27 tahun itu pada jam 10.51 pagi.

Susulan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan elektrik di sekitar kawasan Shah Alam berikutan hujan lebat dan banjir.

TNB dalam kenyataan memaklumkan, tindakan menutup pencawang elektrik Ikeda dan Nippon Steel dibuat demi menjamin keselamatan penduduk setempat.

[caption id="attachment_696113" align="aligncenter" width="811"] Keadaan banjir kilat yang melanda kawasan di Sri Muda pada 11 April 2025. Foto AFIX REDZUAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam termasuk jalan utama di hadapan gudang HL, Seksyen 23, Sri Muda dilanda banjir kilat.

Selain Shah Alam, beberapa kawasan di Klang, Puchong dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat.