OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
SUBANG JAYA, 11 APRIL: Seramai 74 pekerja yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights menerima bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung isu cuti mereka.
Pegawai Tenaga Kerja Kanan JTK Selangor, Mohd Hafizdzul Kafli berkata pihaknya akan berbincang dengan majikan mereka bagi mendapatkan penyelesaian seperti pelepasan cuti.
“Kami menolong mangsa-mangsa daripada syarikat swasta yang berdepan masalah dengan majikan, khususnya pekerja yang cuti tahunannya ditolak.
“Setakat ini, sebahagian daripada 74 pekerja telah mendapat kelulusan cuti seperti diminta. Namun, tempoh cuti ihsan yang boleh diberikan bergantung kepada budi bicara majikan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan situasi yang dihadapi, kebanyakan majikan tidak mempunyai masalah untuk memahami keadaan pekerja mereka yang dalam kecemasan.
“Kita akan cuba menghubungi majikan dan memaklumkan bahawa pekerja masih dalam proses berpindah rumah, ada yang masih dalam peringkat mendapatkan bantuan, dan belum boleh kembali bekerja.
“Namun, terdapat juga kes di mana majikan keliru dan tertanya-tanya. Jadi, kita akan jelaskan situasi sebenar dan berharap mereka (pekerja) diberi pengecualian serta dibayar gaji penuh,” jelasnya.
Insiden kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada jam 8.10 pagi Selasa lepas melibatkan seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan menyeluruh dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lain terjejas tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.


