ad
AGENDA

Pembantu kedai makan dipenjara sebulan, denda RM5,000 buang bayi dalam tandas

10 Apr 2025, 9:08 AM
Pembantu kedai makan dipenjara sebulan, denda RM5,000 buang bayi dalam tandas

SUNGAI BESAR, 10 APRIL: Pembantu kedai makan dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayat mangsa ke dalam tandas di sebuah stesen minyak, bulan lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 18 tahun selepas remaja itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan remaja itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda selain menyatakan hukuman ini sebagai pengajaran yang menginsafkan tertuduh di samping sebagai satu bentuk pencegahan.

Mengikut pertuduhan, pembantu kedai makan berkenaan didakwa menyembunyikan kelahiran bayi yang dilahirkannya secara rahsia dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tandas wanita di Stesen Minyak Petronas, Kampung Sungai Haji Dorani, di sini kira-kira 11 pagi pada 23 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhd Muqri Mohd Khairi yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda bersesuaian dengan umur dan bagi membentuk anak guamnya menjadi insan lebih baik, selain remaja itu masih ditanggung ibunya yang juga ibu tunggal berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman berbentuk pengajaran, mengambil kira kekerapan kes seumpama itu selain turut membabitkan nyawa bayi yang tidak berdosa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusof Ahmad mengesahkan penemuan mayat seorang bayi yang baru dilahirkan dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani bulan lalu hasil laporan orang awam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.