ad
AGENSI

MBSJ-KDEBWM sedia 11 tong roro di Putra Heights, mudahkan penduduk urus sisa

9 Apr 2025, 5:19 AM
MBSJ-KDEBWM sedia 11 tong roro di Putra Heights, mudahkan penduduk urus sisa

SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan 11 tong Roll-On Roll-Off (roro) di sekitar kawasan Putra Heights.

MBSJ menerusi kenyataan memaklumkan pada fasa satu 11 unit tong roro ditempatkan di Jalan Putra Harmoni 1/3 dan 1/4 Putra Heights.

“Penyediaan tong roro bagi memudahkan dan membantu penduduk yang terjejas dengan insiden letupan paip gas baru-baru ini untuk menguruskan sisa berskala besar secara berperingkat.

“Antara pelupusan yang dibenarkan adalah perabot rosak, kelengkapan rumah dan beberapa barangan lain yang terjejas akibat insiden berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, MBSJ menyarankan penduduk tidak menyalahguna fungsi tong roro dengan meletakkan sisa binaan hasil kerja ubah suai atau baik pulih kediaman.

“Sisa binaan tidak dibenar dilupuskan dalam tong roro sebaliknya ia hendaklah diurus penduduk sendiri melalui kontraktor dilantik.

“MBSJ kekal komited dalam memastikan kebajikan, keselesaan dan keselamatan komuniti bandar raya sentiasa diberi keutamaan khususnya dalam keadaan luar jangka,” katanya.

Untuk pertanyaan boleh hubungi 1-800-88-2824 / 019-274 2824 dan 019-375 9592 / 019-375 3980 atau memuat turun aplikasi iClean Selangor melalui Google Play atau App Store.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.