SHAH ALAM, 8 APRIL: Hampir 100 tan sampah dikeluarkan dari kawasan perumahan yang terjejas insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights setakat ini.
Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata sampah domestik dan pukal dikutip sejak hari kedua kejadian hingga semalam dengan anggaran 12 tan hingga 18 tan sehari.
Jelas Dato’ Ramli Tahir, tong Roll On Roll Off’ (Roro) turut disediakan sejak semalam di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi memudahkan mangsa menjalankan kerja pembersihan.
[caption id="attachment_636588" align="aligncenter" width="813"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato Ramli Mohd Tahir (kanan) ketika sidang media mengenai operasi KDEBWM sepanjang Aidilfitri di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam pada 5 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
“Difahamkan ada mangsa sudah balik ke rumah dan melakukan kerja pembaikan. Jadi kita sediakan Roro supaya sampah pukal seperti perabut yang terbakar dapat dikeluarkan.
“Pekerja sudah dibenarkan masuk ke lokasi sejak hari kedua kejadian namun dengan jumlah terhad. Kira-kira dalam 50 pekerja bagi membuat kerja pembersihan,” katanya kepada Media Selangor.
Ramli berkata operasi pembersihan mega akan dibuat bersama beberapa pihak antaranya Sukarelawan Selangor (SERVE), Team Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
“Kita tunggu semua mangsa membersihkan rumah mereka dahulu. Nanti kita akan bawa semua aset antaranya lori kompaktor, pembersih takungan air dan mesin penyembur air berkuasa tinggi,” katanya.
Selain KDEBWM, sukarelawan SERVE dan Team Selangor turut digerakkan ke Putra Heights sejak Jumaat lalu bagi membantu proses pembersihan.
[caption id="attachment_694595" align="aligncenter" width="815"] Pandangan dari Persiaran Harmoni kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.