SHAH ALAM, 8 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang RM132,500 kepada 265 pelajar terkesan insiden letupan saluran gas Petronas minggu lalu.
Ketua Yayasan MBI berkata menerusi sumbangan itu, pelajar tahun satu hingga tingkatan enam menerima wang tunai berjumlah RM500 seorang yang bakal diserah Jumaat ini.
“Sumbangan ini membolehkan mereka mereka membeli keperluan masing-masing termasuk digunakan sebagai wang saku ke sekolah.
“Serahan akan dilakukan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di pusat pemindahan sementara (PPS) Putra Heights dalam satu majlis Jumaat ini,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_695575" align="aligncenter" width="697"]
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan komputer riba di Pejabat Penyelaras DUN Bukit Melawati pada 22 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata jumlah penerima berkenaan berdasarkan data daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Ini merupakan sumbangan khas kepada pelajar. Pada hari pertama kejadian, MBI sudah serahkan bantuan RM10,000 untuk kegunaan PPS.
“MBI juga akan menyumbang sejumlah dana kepada Tabung Prihatin Selangor yang dibuka pentadbiran bagi membantu penduduk terjejas,” katanya.
Pada Jumaat, Yayasan Islam Darul Ehsan menyerahkan sumbangan dua set pakaian sekolah serta alat tulis kepada 194 pelajar melibatkan RM77,600 kos perbelanjaan.
Agensi turut menyumbang wang tunai RM500 kepada 17 pelajar institusi pengajian tinggi dan RM100 kepada lapan pelajar taska.


