OLEH MUHAMMAD REY HAZRIELL dan AHMAD NAHAR SULAIMAN
SUBANG JAYA, 8 APRIL: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) komited memberi sokongan emosi kepada pelajar terjejas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights menerusi pelbagai aktiviti di dua pusat pemindahan sementara (PPS) kawasan itu.
Petugas Smart Support Team JPNS Fadzilah Mohamed Yazid berkata pihaknya telah berada di PPS Dewan Camelia dan Masjid Putra Heights sejak hari kedua kejadian bagi menjalankan sesi sokongan emosi melibatkan kanak-kanak, pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk melakar peta Malaysia sebagai simbol harapan dan perpaduan, selain permainan seperti lego serta mainan interaktif lain,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Camelia semalam.
[caption id="attachment_695250" align="aligncenter" width="711"]
Kanak-kanak yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan di Dewan Camelia, Putra Heights, Subang Jaya pada 6 April 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]
Menurut Fadzilah, seramai lapan petugas telah ditempatkan di kedua-dua PPS pada minggu lalu dan kini sekurang-kurangnya tiga orang sukarelawan hadir secara bergilir setiap hari untuk meneruskan sesi tersebut, terutamanya selepas sesi persekolahan bermula.
Katanya kehadiran pelajar pada sesi berkenaan direkodkan secara harian dan jumlahnya berubah mengikut keadaan semasa termasuk faktor kesihatan dan keselamatan.
Inisiatif ini bertujuan memastikan kesejahteraan emosi anak-anak yang terkesan, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan situasi pasca tragedi.
Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.


