SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerja pengukuhan dan menstabilkan tapak lokasi insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya berlaku minggu lalu akan dilaksana mulai petang ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membolehkan pasukan penyiasatan teknikal menjalankan siasatan lanjut yang dijangka bermula 15 April ini.
"Jadi selepas 14 April atau 15 April, baru pasukan penyiasatan teknikal akan melihat dan juga menganggarkan apa punca dan kesan sebenar daripada berlakunya.
"Semalam pihak polis sudah menjelaskan dalam laporan. Nampak lebih jelas tetapi kita akan menilai faktor lain termasuk kesan sekeliling dan sebagainya," katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri hari ini.
Semalam ketua polis Selangor menjelaskan siasatan pihaknya serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadiaan diikuti proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan.
Beliau turut menjelaskan kerja menstabilkan lokasi memerlukan masa lama memandangkan kawah yang terhasil akibat letupan itu berkedalaman tujuh meter selain faktor hujan.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.


