AGENDA

Hilang punca rezeki, bengkel kimpalan 25 tahun musnah sekelip mata

6 Apr 2025, 8:11 AM
Hilang punca rezeki, bengkel kimpalan 25 tahun musnah sekelip mata
Hilang punca rezeki, bengkel kimpalan 25 tahun musnah sekelip mata
Hilang punca rezeki, bengkel kimpalan 25 tahun musnah sekelip mata

Oleh Aliff Haiqal Mohamed

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Bukan hanya kehilangan tempat berteduh, malah bengkel kimpalan yang diusahakan lebih dua dekad turut musnah dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Itulah nasib malang menimpa Mohd Sabry Nordin, 47, yang terpaksa redha apabila bengkel yang menjadi sumber rezeki utama keluarganya musnah dengan anggaran kerugian melebihi RM200,000.

"Ini satu-satunya punca rezeki yang saya ada. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan sekarang kerana alatan kimpalan saya semuanya musnah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, baru-baru ini.

[caption id="attachment_695215" align="alignleft" width="420"] Mohd Sabry Nordin[/caption]

Menurut Sabry, bengkel kimpalan berusia 25 tahun itu terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, kira-kira 150 meter dari lokasi kebakaran.

Ketika kejadian, beliau dan keluargan baru tiba di Kota Bharu kerana pulang beraya, namun terpaksa bergegas pulang setelah menerima berita buruk tersebut.

"Tak sempat nak selamatkan apa-apa. Apabila tiba di rumah, kami tidak dibenarkan masuk. Bumbung rumah dan bengkel saya runtuh akibat ditimpa batu-batu besar," katanya lagi.

Sabry kini berusaha memohon bantuan bagi memulihkan semula rumah dan bengkel yang teruk terjejas akibat kebakaran tersebut.

"Kalau boleh, saya berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat membantu saya kerana bengkel itu adalah satu-satunya punca pendapatan saya," tambahnya.

[caption id="attachment_694878" align="alignnone" width="762"] Keadaan lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 04 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api yang menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Ia mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan, namun masih boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. Manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Setakat semalam, sebanyak 509 keluarga mendaftar di PPS, dengan sebahagian daripada mereka tidak tinggal di situ. Jumlah itu dijangka meningkat memandangkan terdapat segelintir mangsa yang berada di luar kawasan ketika kejadian berlaku pada hari raya kedua.