SHAH ALAM, 5 APRIL: Kerajaan Negeri akan menyemak semula pelan bantuan perumahan membabitkan mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini hanya 178 unit ditawarkan, dengan 100 unit merupakan daripada program Smart Sewa di Kota Warisan, Sepang.
“Tetapi (memandangkan) angka mangsa di PPS kini sudah bertambah 500 lebih, Isnin nanti kita akan lihat pelan bantuan perumahan. Kita selesaikan dulu bantuan awal yang akan diagihkan.
“Katakan mereka (mangsa) tidak berminat, kita akan cari formula lain. Sebab ini bukan kewajipan, kita tawarkan. Kita akan bincang dengan Petronas. Saya harap minggu depan kita ada penyelesaian dan kita akan beri taklimat,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kali ke-3 yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Semalam, Amirudin mengumumkan Kerajaan Selangor menawarkan lebih 100 penempatan sementara kepada mangsa yang terkesan susulan kebakaran saluran paip gas, Selasa lalu.
Menurutnya tawaran menerusi Skim Smart Sewa disediakan seawal minggu depan di Kota Warisan, Sepang, manakala sebahagian lagi akan diumum kemudian.
Sementara itu, Amirudin menzahirkan ucapan menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang sudi mencemar duli melawat mangsa kejadian kebakaran Putra Heights, pagi tadi.
Menurutnya, kehadiran Sultan Ibrahim diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah membuktikan keprihatinan Baginda terhadap mangsa terlibat.
“Saya juga ingin menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang meminta Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu.
“Bagi yang mangsa beragama Islam, LZS akan salurkan RM500 kepada mereka terlibat manakala mangsa golongan asnaf akan terima sumbangan lanjutan,” katanya.
Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerusi kenyataan Selangor Royal Office menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menguruskan bantuan bagi pemulihan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Baginda menitahkan Mais menyalurkan bantuan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor yang dikendali Yide bagi membantu pelajar terkesan, termasuk yang bukan beragama Islam.


