AGENDA

Kerajaan bantu bina semula rumah mangsa kebakaran paip gas

5 Apr 2025, 12:10 PM
Kerajaan bantu bina semula rumah mangsa kebakaran paip gas

SUBANG JAYA, 5 APRIL: Kerajaan Persekutuan akan membantu membina semula semua rumah yang musnah sepenuhnya akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, pada 1 April lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan amat prihatin terhadap nasib semua mangsa dan usaha bantuan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk sokongan jangka panjang membina kediaman kekal.

“Pengumuman lanjut akan dibuat. Proses ini mungkin mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pelbagai agensi dan keperluan teknikal, namun komitmen kerajaan adalah jelas. Kita akan pastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pemilik yang mengalami kerosakan keseluruhan (total loss), tidak perlu bimbang, memang kerajaan akan membuat segala-galanya untuk membantu mendapatkan rumah mereka kembali,” katanya.

Terdahulu, Loke menyempurnakan majlis penyerahan bantuan wang tunai dan kenderaan sementara buat mangsa di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights di sini, petang tadi.

Pada masa sama, Loke memberitahu semua bentuk bantuan rasmi daripada kerajaan akan disalurkan melalui Kerajaan Negeri dan syarikat petroleum negara, Petronas seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan negeri akan menyelaras bantuan rasmi kerajaan yang akan disalurkan dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.