SUBANG JAYA, 5 APRIL: Seramai 400 mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights menerima bantuan wang tunai sejumlah RM3,000 hari ini.
Menteri pengangkutan berkata kesemua mereka memperoleh sumbangan itu dari pengasas Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan dan syarikat hartanah Matrix Property.
“Berjaya Group melalui Berjaya Foundation menyumbang RM3,000 kepada setiap 300 keluarga. Matrix Group dari Seremban mereka salur kepada 100 mangsa dengan jumlah sama.
“Syarikat automatif Carsome menghulurkan bantuan 50 unit kereta sementara untuk tempoh sebulan. 20 diserah hari ini dan 30 lagi akan dihantar pada minggu depan,” kata Anthony Loke.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada semua mangsa di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights di sini, petang ini.
Pada masa sama, Loke memaklumkan sebuah syarikat permotoran akan menaja 63 unit motosikal kepada mangsa yang terjejas dan serahan akan dibuat pada Isnin ini.
“Kita telah kenal pasti sebanyak 63 motosikal mengalami kerosakan akibat kejadian. Pada hari penyampaian, proses daftar milik juga akan dibuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Loke menyifatkan koordinasi dan penyelarasan persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan memperkemas penyampaian seluruh bantuan kepada mangsa terjejas.
Selain meringan beban, Loke memberitahu kerjasama erat membabitkan pentadbiran antara pusat bersama negeri juga akan mempercepat serahan bantuan khususnya dari pihak swasta.
“Jadi (kalau) 400 yang terima bantuan hari ini jika pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menyusahkan keadaan di sana.
“Pagi tadi, pihak berkuasa, terutamanya pihak polis menutup kawasan (Masjid Putra Heights) susulan lawatan Yang Di-Pertuan Agong. Ini sebab hari ini kita mengadakan penyampaian di stesen LRT yang berdekatan dengan PPS,” katanya lagi.


