Oleh: Aliff Haiqal Mohamed
SUBANG JAYA, 5 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa kebakaran saluran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim tiba kira-kira jam 10.20 pagi dan meluangkan masa hampir setengah jam menyantuni mangsa yang terkesan dalam kejadian itu.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Selangor Dato' Hussein Omar Khan.
Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan sumbangan peribadi RM1,000 menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada setiap ketua keluarga.
Setakat 10 pagi, PPS Masjid Putra Heights menempatkan seramai 382 mangsa daripada 99 keluarga.
[caption id="attachment_694989" align="aligncenter" width="700"]
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran paip gas di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 05 April 2025. Turut berkenan hadir Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dengan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto NUR FATIHAH HAMIZI /MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam lawatan itu, Sultan Ibrahim turut mendengar taklimat di pos kawalan tempat kejadian (PKTK) dan meninjau lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights,
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius, sebelum berjays dipadamkan sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.
Sebanyak 87 rumah musnah secara total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.



