SHAH ALAM, 4 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan segera sebanyak RM500 kepada keluarga Muslim terlibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa.
Divisyen Komunikasi Korporatnya berkata bantuan itu tidak terhad kepada golongan asnaf fakir dan miskin sahaja, sebaliknya diagihkan kepada semua mangsa terkesan bagi meringan beban mereka.
Agensi berkenaan turut mengaktifkan portal khas untuk memudahkan mangsa membuat permohonan secara dalam talian menerusi pautan https://lzspeduli.zakatselangor.com.my/kebakaranpipelinegas.
“Permohonan dibuka sejak Rabu lalu hingga 15 April depan. Mangsa perlu mengemukakan laporan polis atau pengesahan daripada wakil pimpinan masyarakat.
[caption id="attachment_694571" align="aligncenter" width="785"] Suasana di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights susulan kebakaran saluran paip gas di jalan Putra Height Harmoni ketika setakat jam 1 tengahari pada 2 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“LZS turut membuka kaunter bergerak di Masjid Putra Heights bagi memudahkan mangsa membuat permohonan secara langsung, tanpa perlu ke mana-mana cawangan,” katanya menerusi kenyataan.
Pada masa sama, agensi itu memaklumkan bantuan susulan akan diberikan kepada keluarga asnaf yang terkesan termasuk baik pulih, binaan dan sewaan rumah.
LZS turut menjamin kebajikan mangsa kekal terpelihara termasuk bekerjasama dengan jawatankuasa bencana daerah serta agensi berkaitan bagi memudahkan urusan bantuan.
“LZS membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang zakat melalui CrowdZakat di pautan
https://crowdzakat.zakatselangor.com.my/portal-main/campaign-details/kebakaranpetaling .
“Dana terkumpul akan digunakan bagi menampung keperluan mendesak serta pemulihan jangka panjang mangsa tragedi ini,” katanya lagi.
Sejak hari pertama kejadian, LZS menyediakan makanan bermasak kepada mangsa di Masjid Nurul Iman dan Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights selain makanan kering, keperluan asas dan kit kebersihan diri.
Kebakaran paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.