SUBANG JAYA, 4 APRIL: Seramai 100 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan ke lokasi kejadian paip gas terbakar hari ini bagi membantu proses pembersihan.
Urus Setia SERVE Syafiq Salleh berkata kerja pembersihan bermula jam 10.20 pagi tadi tertumpu di kawasan jalan raya sekitar perumahan Taman Putra Harmoni.
“Kami menyasarkan untuk selesai kerja pembersihan dengan segera namun bergantung pada keadaan. Semua (sukarelawan) yang hadir tinggal di kawasan sekitar Putra Avenue.
“Pihak polis akan mengiringi kami dengan pemantauan ketat. Tiada pengambilan gambar dibenarkan dan masuk ke rumah mangsa terjejas sepanjang operasi,” katanya ketika ditemui.
Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari dalam sidang media berkata proses pemulihan kawasan terjejas dilaksanakan secara berperingkat selepas pemeriksaan tahap keselamatan selesai.
Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
Tragedi pada 2 Syawal menjejaskan 1,254 orang daripada 308 keluarga dengan 87 rumah musnah sepenuhnya, manakala 148 rumah mengalami kerosakan dan boleh didiami selepas proses pembaikan.