SUBANG JAYA, 3 APRIL: Syarikat penjualan kereta, Carro setuju menyumbang 30 kenderaan bagi kegunaan sementara secara percuma kepada mangsa insiden lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, di sini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan untuk kenderaan lain seperti motosikal.
“Pejabat EXCO ((Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han) sedang membuat pendaftaran. Mana-mana mangsa yang memerlukan kenderaan boleh mendaftar dengan mereka.
“Kita akan lihat jumlah keperluan dan kita juga sedang menghubungi syarikat lain supaya mendapat lebih banyak kenderaan yang boleh digunakan mangsa untuk sementara waktu," katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Semalam, syarikat automotif Chery Malaysia turut menyediakan sebanyak 50 kereta untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran saluran paip gas selama sebulan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pengasas Kumpulan Berjaya Berhad Tan Sri Vincent Tan turut menyediakan dana bernilai RM3,000 yang akan disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa secepat mungkin.
“Ini adalah antara sumbangan yang sedang diusahakan dan sudah tentu kita di peringkat kementerian akan terus menghubungi syarikat swasta untuk cuba membantu mangsa," katanya.
Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 311 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini yang dibuka sejak 1 April lalu.
Media melaporkan sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, setakat semalam.
Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.