SHAH ALAM, 3 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM10,000 bagi menyalurkan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Height, Subang Jaya.
Ketua Yayasannya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan awal seperti makanan kering, tuala wanita, lampin pakai buang, air mineral, toto dan pemanas air diagihkan kepada mangsa kebakaran saluran paip gas sebaik sahaja PPS dibuka.
[caption id="attachment_694555" align="alignleft" width="281"] Petugas Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Height pada 1 April 2025. Foto Yayasan MBI[/caption]
“Sejurus menerima maklumat insiden berkenaan, kita terus bersiap sedia menghantar bantuan ke PPS bagi membantu mangsa sekali gus memudahkan mereka di dewan.
“Setakat ini, kita agihkan bantuan awal untuk kegunaan mangsa. Jika keadaan memerlukan tambahan barangan asas, kita akan agihkan lagi,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Yayasan MBI sedang mempertimbangkan bantuan tambahan seperti wang ihsan kepada mangsa terlibat.
“Kita akan lihat jika ada keperluan tambahan bantuan seperti wang ihsan. Kebiasaannya Yayasan MBI ada menghulurkan wang ihdan sekiranya berlaku bencana.
“Namun kita perlu tunggu penelitian oleh unit pengurusan bencana sehari dua ini sebelum putuskan sebarang bantuan tambahan,” katanya.
Kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.
Seramai 78 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan sembilan balai bomba dan penyelamat antaranya Subang Jaya, Puchong, Shah Alam dan Rawang.
Kebakaran saluran paip gas yang memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya meninggalkan kesan yang ketara, dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki.
[caption id="attachment_694556" align="aligncenter" width="427"] Petugas Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Height pada 1 April 2025. Foto Yayasan MBI[/caption]