ad
AGENDA

PM: Malaysia ucap takziah kepada Myanmar, bantu usaha kemanusiaan

31 Mac 2025, 4:30 AM
PM: Malaysia ucap takziah kepada Myanmar,  bantu usaha kemanusiaan
PM: Malaysia ucap takziah kepada Myanmar,  bantu usaha kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah menghubungi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing semalam bagi menyampaikan ucapan takziah mewakili Malaysia susulan bencana gempa bumi yang melanda Myanmar.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam menghadapi saat sukar ini.

"Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang sedang giat dijalankan, termasuk menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah diatur gerak ke Myanmar pada awal hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan," katanya menerusi catatan di laman Facebook hari ini.

[caption id="attachment_694143" align="aligncenter" width="1032"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 30 Mac 2025 bagi menyampaikan ucapan takziah Malaysia susulan bencana gempa bumi melanda Myanmar. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]

Anwar berkata satu misi kemanusiaan yang diketuai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan berlepas ke Myanmar dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan kepada Min mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang dianjurkan oleh Malaysia semalam bagi menggerakkan sokongan ASEAN kepada Myanmar.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau turut menghubungi rakan sejawat dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra bagi merakamkan rasa dukacita dan simpati terhadap bencana gempa bumi yang turut melanda negara jiran itu.

"Pada kesempatan yang sama, saya turut membangkitkan beberapa perkara terkait kedua-dua negara, termasuk tekad berterusan ASEAN dalam memudah cara dan membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian damai terhadap krisis di negara itu.

"Insya-Allah, perbualan kami pada hari ini akan disusuli dengan perbincangan yang lebih lanjut semasa lawatan kerja saya ke Bangkok pada 17 April atas jemputan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra," katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda tengah Myanmar pada Jumaat mengorbankan lebih 1,600 nyawa, mencederakan lebih 3,400 orang serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan awal sebanyak RM10 juta bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan akibat gempa bumi.

Malaysia turut menghantar dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Naypyidaw, membawa 50 anggota SMART bersama peralatan penting bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Misi itu diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Yangon.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.