ad
AGENDA

Thailand jamin destinasi pelancongan selamat selepas gempa bumi

30 Mac 2025, 3:08 PM
Thailand jamin destinasi pelancongan selamat selepas gempa bumi

BANGKOK, 30 MAC: Thailand menegaskan bahawa negara itu selamat untuk dikunjungi oleh pelancong selepas gempa bumi dahsyat melanda rantau ini, dengan menteri pelancongannya berkata bahawa tiada pelancong yang tercedera dan tiada lokasi pelancongan yang terjejas, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Dalam satu hantaran di X, beliau berkata bahawa "perjalanan, hotel, dan acara akan berjalan seperti biasa.

"Pemeriksaan keselamatan sedang dijalankan. Polis pelancong memantau lokasi utama. Tiada pembatalan perjalanan."

Lapangan terbang antarabangsa, termasuk di Bangkok dan di pulau peranginan popular Phuket, juga telah kembali beroperasi seperti biasa, menurut kenyataan daripada pihak pengendali.

Sebelum ini, terminal dan landasan telah diperiksa bagi memastikan tiada kerosakan.

Sektor pelancongan menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dan menggaji lebih daripada 20 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara itu, menurut ucapan gabenor bank pusat tahun lalu.

Gempa bumi yang melanda Myanmar mengakibatkan 17 kematian di Bangkok setakat ini.

Sekurang-kurangnya 83 orang dilaporkan masih hilang manakala 32 lagi cedera, menurut pihak berkuasa.

-- BERNAMA-dpa

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.