SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan umat Islam khususnya di Selangor supaya memainkan peranan masing-masing bagi mengekalkan perpaduan sedia ada.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah meski wujud perbezaan pandangan, namun perlu mencari titik persamaan untuk dirai dan mengelakkan isu kecil yang membawa kepada perpecahan.
“Janganlah mengamalkan sikap caci-mencaci dan memfitnah antara satu sama lain kerana ia akan menjadi barah yang akan membunuh perpaduan umat Islam.
“Memelihara tali persaudaraan dan memperkukuh ukhuwah serta rasa kebersamaan adalah sangat dituntut dalam Islam,” titah Baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, usaha mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan perlu diterajui pemimpin dalam kalangan umat Islam, sama ada pimpinan politik atau pemimpin agama.
Titah Baginda, pemimpin juga ditegah menjadi api dalam sekam dan menyebabkan pertelingkahan serta persengketaan dalam masyarakat.
“Para pemimpin perlu mengangkat martabat umat Islam supaya lebih bersatu-padu dan kuat dalam menghadapi era yang kian mencabar ini,” titah Baginda.
Dalam majlis sama, Baginda turut bersyukur selepas selesai mengagihkan sumbangan hari raya berjumlah RM35.27 juta kepada 75,207 penerima, serta merasmikan tujuh masjid baharu sepanjang Ramadan ini.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh para asnaf bagi menyambut Aidilfitri nanti,” titah Baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat yang terakhir hari ini.