SHAH ALAM, 26 MAC: Kira-kira 76,000 khinzir dijangkiti penyakit demam khinzir Afrika (ASF) sudah dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPV) setakat minggu lalu.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata proses pelupusan melibatkan ternakan di 57 kandang sekitar Kuala Langat dan Sepang itu selesai lebih awal berbanding jangkaan pada 31 Mac ini.
“Sehingga 25 Februari lalu, menerusi kerja survelan dan pensampelan, 57 daripada keseluruhan 115 ladang babi di Kuala Langat dan Sepang dikesan positif ASF termasuk satu ladang ternakan haram.
“Susulan itu, lebih kurang 76,000 ekor khinzir sudah dilupuskan sehingga minggu lalu. Jumlah itu merangkumi angka khinzir yang mati sendiri akibat jangkitan,” katanya.
Bercakap pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri (SUK) di sini, hari ini beliau berkata 68 ekor khinzir dengan anggaran 9,405.7 kilogram disita termasuk yang mahu diseludup.
Pada 11 Mac, Izham berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri memperketat kawalan dan penguatkuasaan khinzir bagi mengekang penularan ASF keluar dari Selangor.
Beliau menjelaskan pemindahan khinzir hanya dibenarkan di dalam Selangor dan urusan penyembelihan hanya dilakukan di rumah penyembelihan berlesen.