SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat membina perpustakaan aeroangkasa sebagai usaha memupuk minat dan mencungkil bakat pelajar sekolah dalam bidang tersebut.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) bagi membangunkan perpustakaan itu di Bandar Puteri, Puchong.
“Aeroangkasa memerlukan banyak bakat, kita perlu pupuk minat pelajar dari peringkat awal persekolahan lagi, kalau sudah masuk universiti mereka ada pilihan kursus. Ini adalah sasaran kami.
“Bandar Puteri dipilih sebagai lokasi pembinaan kerana berdekatan dengan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk merancakkan industri semikonduktor negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Sze Han menambah MBSJ telah bersetuju untuk membiayai kos pembinaan perpustakaan yang dijangka bermula pertengahan tahun ini.
“Lawatan tapak dan mesyuarat pertama membabitkan saya bersama MBSJ serta NAICO akan dibuat dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Antara rancangan lain juga untuk mengwujudkan ruang pilot (juruterbang) sebagai tarikan utama sekaligus menggalakkan mereka menyumbang buku yang berkaitan ilmu penerbangan untuk bahan bacaan golongan muda,” ujarnya.